Entri Popular

Archive for October 2017

Pengenalan Alumni

By : Alumni SMVKL

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Ringkasnya,
Bertitik tolak dari pertemuan pertama yang dianjurkan di Sungai Buloh sekitar Oktober 2016, satu iltizam telah tercipta untuk terus mencari dan menyelidiki dan mengumpul sebanyak mungkin bekas bekas pelajar SMVKL Tahun 90-91 disamping membibitkan harapan untuk mengadakan satu perjumpaan mega yang boleh disertai lebih ramai ahli.

Untuk merealisasikan perkara tersebut, satu jawatankuasa ad-hoc telah dibentuk untuk membuat perancangan khusus serta diamanahkan untuk mengaturkan prasarana prasarana yang berkaitan supaya segala galanya dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.

Walaubagaimanapun, dipertengahan perancangan, atas permasalahan permasalahan teknikal yang mula dirasakan seperti contoh : timbul masalah akaun bank yang hendak digunakan dan sukar untuk mendapatkan komitmen empunya akaun, maka wujud kesedaran tentang keperluan untuk menubuhkan persatuan yang bergerak secara rasmi dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Alhamdulillah, setelah melalui proses yang panjang dan melelahkan, akhirnya pendaftaran persatuan ini dapat dijayakan dengan  rasminya pada 23hb Oktober 2017 dengan nama Alumni SMVKL Tahun 90-91 dan nombor pendaftarannya PPM-020-10-23102017.

Syukur dan ucapan jutaan terima kasih kepada semua ad-hoc, jawatankuasa penaja peringkat sekretariat, jawatan kuasa pegawai penaja dan keseluruhan bekas pelajar SMVKL khususnya, berserta keluarga keluarga mereka, kerana komited untuk memastikan kumpulan whatsapp SMVKL terus meriah dan perkara itulah yang telah memacu azam kami diperingkat sekretariat untuk bersungguh sungguh menjadikan pendaftaran alumni ini menjadi kenyataan.

Terima Kasih sekali lagi.
Demang @ Kerinchi
S/Usaha Alumni SMVKL

Tag : ,

Projek Khidmat Sosial Alumni Untuk Memperindahkan Kembali Masjid (Surau) SMVKL

By : Alumni SMVKL
Sebagaimana yang telah dirancangkan didalam mesyuarat mesyuarat tidak rasmi AJK Alumni SMVKL, satu projek khidmat sosial telah diadakan bertujuan untuk memperindahkan kembali surau besar sekolah. 

Projek ini mulanya dipelopori oleh En. Azim (Jawa) bersama Tuan Presiden (En.Sarip) beserta beberapa lagi abang abang kawasan di Lipis dan kemudiannya dibawa ke meja mesyuarat untuk dibincangkan bersama bagi urusan kelinciran perancangan.

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh masalah menentukan tarikh dari pihak sekolah, peserta peserta yang awalnya berminat untuk mengambil bahagian, telah kecundang awal .. haha .. dan perkara ini dengan pantas dapat di kaw tim oleh Tuan Presiden sambil meniup semboyannya selaku ayahnda besar Lipis dan tak semena mena semua taiko taiko Lipis turun membantu .. antaranya Abang Long Kawasan Lipis Bidin, Abang Long Sega Lapok beserta kuncu kuncu rapatnya yang lain. Manakala Abang Long Kawasan Ulu Atok iaitu Don Asri diberitakan tidak dapat menghadirkan diri kerana terpijak siput sedut..

Harus diingatkan, bahawa usaha ini adalah permulaan dan banyak lagi proses yang perlu dilaksanakan sebelum surau SMVKL kembali berseri seperti sediakala. Maka, untuk langkah seterusnya, ayuh kita semua menggembeleng tenaga untuk sama sama turun ke sekolah  dan menyumbang apa yang perlu .. kalo setakat tak menyumbang suara baik dok umah dendiam .. haha 

Peringatan : Sedara Bako telah kawtim ngan Tok Batin Cameron untuk menyantau sesiapa yang tak datang untuk langkah seterusnya padahal punya kelapangan untuk berbuat demikian. Bersedialah untuk sembelit 3 hari 3 malam berturut turut ujar beliau sambil skodeng negro kat Damansara Flora. 

Keterangan Gambar Yang Diambil Dari Jarak Jauh :

Setelah menuntut di Gua Kenong selama 7 purnama, Abang Long Bidin akhirnya mempunyai ijazah untuk mengajar cara cara memegang kayu entension dengan berhemah.

Walaupun nampak bersahaja , sebenarnya Abang Long Lapok sedang menunjukkan isyarat yang sangat dicari oleh penuntut penuntut ilmu songsang iaitu 2 Big 2 Small .. haha

Ayahanda Penjom telah meyambung usaha menjolok motor yang tersangkut sejak zaman Seniman Bujang Lapok lagi .. huh .. bayangkan betapa hebatnya ilmu beliau

Sekali lagi Ayahanda Penjom menunjukkan kuasanya dengan mengumpul taiko taiko Lipis untuk mengancam sesiapa yang memberanikan diri untuk tak datang pada next project .. alaa .. padahal upah sorang 5 hinggit je debudak tu .. hahaha
So , setakat tu sahaja laporan dari pemerhati jarak jauh .. moga kita selalu dapat berkumpul sambil beramal sebagaimana projek sulung Alumni SMVKL ini .. kipidap

Apa Makna Kita Berpersatuan

By : Alumni SMVKL
                                             Image result for community

              Persatuan yang didaftarkan secara sah adalah merupakan sebuah organisasi formal di mana penubuhan dan pengurusannya tertakluk kepada peraturan, undang-undang dan akta yang ditetapkan. Persatuan perlu diuruskan atau ditadbir dengan baik bagi memastikan perjalanannya mencapai objektif dan matlamat penubuhannya. Dengan mengambil bahagian dalam aktiviti persatuan seseorang ahli akan dapat menambah pengetahuan dan pengalamannya yang mampu mematangkan pemikiran dan meningkatkan keyakinan diri.

Satu elemen penting yang tidak boleh dipinggirkan dalam berpersatuan ialah konsep kesukarelaan. Konsep ini merujuk kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh ahli-ahli secara sukarela tanpa mengira waktu, tenaga dan wang ringgit dan bukan untuk memperoleh pendapatan atau keuntungan. Konsep kesukarelaan dapat digambarkan menerusi kesanggupan ahli persatuan menjalankan tugasan tanpa paksaan dan mengharapkan pembalasan. Selain dari itu, kegiatan berpersatuan juga amat penting dalam memupuk semangat toleransi, perpaduan dan menghapuskan perasaan prejudis.


1. Objektif Berpersatuan

Objektif berpersatuan pada dasarnya merujuk kepada operasi sesebuah persatuan yang berlandaskan kepada objektif dan matlamat persatuan. Sebelum sesebuah persatuan diwujudkan, ia hendaklah menetapkan terlebih dahulu objektif utama penubuhannya. Umumnya objektif berpersatuan adalah untuk memenuhi keperluan sosial, kebudayaan, ekonomi dan kerohanian serta memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara. Kemudian, ia akan menatijahkan setiap ahli persatuan untuk berusaha ke arah mengeratkan hubungan dan kerjasama dikalangan ahlinya bagi mencapai matlamat persatuan.

Dalam usaha untuk mencapai objektif persatuan, kegiatan atau aktiviti yang hendak dijalankan mestilah seiring dengan matlamat dan objektif persatuan yang ditubuhkan. Walaupun fokus aktiviti dan keahlian setiap persatuan adalah berbeza-beza, namun secara umumnya persatuan diwujudkan untuk mencapai objektif yang dapat diringkaskan seperti berikut:

i. Untuk mencapai objektif pembangunan sosial, kebudayaan, ekonomi dan kerohanian di kalangan ahli dan anggota masyarakat
ii. Membentuk organisasi yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat baik dari aspek fizikal mahupun bukan fizikal
iii. Untuk mengeratkan interaksi dan komunikasi yang boleh membina hubungan mesra dalam memupuk semangat kerjasama di antara ahli dengan masyarakat
iv. Memelihara keharmonian dan membentuk amalan bekerjasama dan kebajikan dikalangan ahli dan anggota masyarakat
v. Menggalakkan keterlibatan ahli dalam kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan untuk faedah bersama selaras dengan objektif persatuan dan kehendak masyarakat
vi. Menggalakkan ahli terlibat dalam aktiviti yang dapat meninggkatkan pemahaman terhadap pembangunan masyarakat
vii. Meningkatkan kualiti kepimpinan dalam organisasi
viii. Melahirkan dan menerapkan amalan pengurusan yang terpuji dan nilai-nilai murni dikalangan ahli.


2. Prinsip Berpersatuan

Prinsip-prinsip persatuan pula merujuk kepada keperluan untuk menjadi ahli, mengurus persatuan dan bagaimana persatuan dapat memberi faedah bersama. Sebagai ahli persatuan, kita hendaklah memahami dan mengetahui tentang prinsip-prinsip berpesatuan untuk memudahkannya memainkan peranan dalam menggerakkan persatuan seiring dengan objektif dan matlamatnya. Tanpa memahami prinsip-prinsip persatuan memungkinkan timbul kekeliruan dikalangan ahli yang akhirnya akan menimbulkan konflik. Umumnya terdapat tiga prinsip berpesatuan iaitu:
1. Keahlian adalah secara sukarela
2. Pengurusan secara demokrasi
3. Pertubuhan untuk faedah bersama


3. Komitmen Terhadap Persatuan

Urusan pentadbiran persatuan biasanya dikendalikan oleh satu gabungan tenaga ahli atau jawatankuasa yang dipilih dan diamanahkan oleh ahli-ahli melalui proses pemilihan secara sah seperti dalam Mesyuarat Agung. Gabungan jawatankuasa ini bertanggungjawab terhadap persatuan untuk memastikannya terus bergerak dan menjalankan berbagai-bagai aktiviti untuk kebaikan ahlinya. Memang terdapat ahli persatuan yang benar-benar komited dan sanggup berkorban menyumbangkan tenaga, masa dan wang ringgit malahan sanggup berusaha bersungguh-sungguh melakukan apa sahaja untuk meletakkan persatuan yang mereka ceburi di tempat yang baik. Kadangkala ahli-ahli yang komited sanggup mempertahankan persatuan yang mereka ceburi daripada diganggu gugat oleh mereka yang cuba menjatuhkannya.

Komitmen terhadap persatuan boleh ditakrifkan dengan beberapa cara berbeza. Komitmen terhadap persatuan adalah suatu sikap yang menggambarkan kesungguhan dan kesanggupan ahli melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan terhadap persatuannya.

Komitmen terhadap organisasi persatuan dirangkumi tiga konsep utama iaitu
a) menerima maklumat,
b) bersedia bekerja kuat
c) ingin kekal di dalam pertubuhan yang dianggotainya. 

Ada pula yang mendefinisikan komitmen sebagai sifat hubungan seseorang ahli kepada suatu sistem secara keseluruhan. Justeru, konsep komitmen merujuk kepada ketaatan seseorang, kesediaannya menyumbangkan usaha dan tenaga untuk persatuan yang mempunyai matlamat ke arah kesejahteraan ahli.

Komitmen yang keterlaluan terhadap persatuan kadang kala boleh menimbulkan konflik dikalangan ahli-ahlinya. Dalam sesebuah persatuan, konflik dikalangan pihak pengurusan dan ahli-ahlinya tetap ada. Biasanya konflik yang berlaku terbahagi kepada dua iaitu konflik
i) yang membawa manfaat
ii) tidak bermanfaat.


Komitmen pemimpin dalam persatuan merupakan salah satu elemen yang penting dalam pengurusan persatuan. Kepimpinan ialah keupayaan atau kebolehan individu atau kumpulan manusia yang mampu mempengaruhi orang lain membuat sesuatu mengikut kehendak mereka.

Kepimpinan adalah aktiviti atau tindakan mempengaruhi, kemampuan mengajak, keupayaan mengarah, proses meyakinkan, seni memujuk, cara mempengaruhi orang lain untuk mengerjakan sesuatu. Seorang pemimpin itu memperolehi kuasa memimpin melalui proses pemilihan yang dibuat berdasarkan personaliti, kewibawaan dan aktiviti yang dijalankan. 

Pemimpin yang berwibawa bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman tetapi juga perlu bekerja untuk membina kuasa dalaman melebihi kuasa fizikal. Pemimpin yang tulen ialah orang yang cekap yang mempunyai tanggungjawab dalam mengatur, mengurus, mentadbir dan memandu orang yang dipimpinnya.

Peranan dan komitmen ahli-ahli dalam berpesatuan pula dapat dilakukan dengan menyokong aktiviti yang dijalankan. Sokongan ahli dapat diperkukuhkan melalui penyertaan dan penglibatan secara langsung bagi menjayakan sesuatu program atau aktiviti yang dijalankan. Penyertaan dan sokongan akar umbi menunjukkan kekuatan dan kesatuan ahli-ahli dalam sesebuah persatuan di samping memperlihatkan kemampuan kepimpinan dalam berpesatuan bagi menggerakkan ahli-ahlinya turut serta dalam semua aktiviti yang dijalankan bagi mencapai objektif persatuan. Akhirnya kedua-dua komitmen pemimpin dan ahli persatuan merupakan indikator dalam mengukur keupayaan sesebuah persatuan itu bergerak dengan lebih mantap dan berjaya.

4. Faedah Berpersatuan

1. Membina semangat kerjasama
2. Memupuk perpaduan
3. Kebolehan bersosial
4. Memupuk bakat pemimpin
5. Membina personaliti yang baik
6. Mampu membujuk dan mempengaruhi
7. Berfikiran rasional
8. Mampu membina keyakinan diri
9. Membentuk sifat kejujuran
10. Dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik
11. Menerapkan nilai murni
Diharapkan dengan penjelasan yang diberikan diatas, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang apakah yang dinamakan sebagai PersatuanFungsinya dan Faedah yang dapat diberikan kepada kita, keluarga  serta masyarakat sekeliling.
Tag : ,

- Copyright © Alumni SMVKL 90-91 - Date A Live - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -